Musim-musim di Melbourne

Antara soalan utama yang pelancong suka tanya tentang Melbourne adalah: musim apa paling best nak datang sini? Soalan kedua pula: Suhu macam mana, nak pakai baju apa?


Sebenarnya, nak cakap satu musim lebih best dari musim yang lain itu macam tak adil dan tak kena sebab lain orang lain kesukaannya. Paling penting, setiap musim itu ada keistimewaannya (dan kekurangannya) yang tersendiri.

Apapon, harini aku dengan rajinnya membuat review tentang 4 musim di Melbourne. Tak cukup dengan itu, aku bagi rekomendasi pemakaian untuk setiap musim lagi. Semoga bermanfaat lah kepada anda-anda yang merancang nak ke Melbourne nanti ye....





WINTER

(Maafla, sususan musim tak ikut turutan. Aku cerita winter dulu baru autumn. Tapi sebenarnya, autumn datang dulu sebelum winter. Jangan tersalah ye.)


Aku dulu, sebelum pindah ke Melbourne, dua kali berturut-turut bercuti di Melbourne dan kedua-duanya adalah waktu winter. Sebabnya, pertama, dah tak tahan dengan cuaca panas di Malaysia waktu itu (kononnya), dan kedua, sebab nak main salji kat Mount Baw Baw. 2 kali datang sini, dua-dua kali pergi Mount Baw Baw. Punyalah gila musim sejuk. 

Mount Baw Baw waktu winter. Best kan? Pemandangan putih semata. Pakaian? Walaupun nampak macam aku pakai jumper je, tapi sebenarnya dalam jumper tu ada tshirt dan dalam tshirt ada longjohn. Haaa jangan tertipu tertipah. Itu la trick pemakaian yang tak ramai yang tahu


Tapi berbeza dengan salah seorang adikku. Dia tidak gemarkan musim sejuk. Susah nak keluar katanya, dan urusan ke tandas pun jadi tidak selesa kerana terlalu sejuk. Satu lagi perlu diambil kira, bila musim sejuk, siang jadi pendek. Pukul 5 dah mula senja, dan pukul 7 belum cukup terang lagi. Jadi masa untuk berjalan di siang hari itu terhad. Apa pun, musim sejuk adalah waktu yang sesuai untuk menjelajah bandar Melbourne sebab cuaca yang dingin menyebabkan perjalanan menjadi lebih selesa, tak berpeluh ketiak. Waktu winter juga biasanya direkodkan waktu yang paling kurang hujan. Jadi jangan risau jika perancangan percutian anda terganggu kerana hujan, kerana ia jarang berlaku waktu musim sejuk. (Tapi kalau hujan, gila babeng sejuknya! dengan angin kuat lagi... sampai melayang-layang wei!) Paling penting, kalau rancang nak bercuti ke puncak gunung main salji, sudah tentu lah waktu winter je ada. Gunung di sini hanya bersalji pada musim sejuk, bukan sepanjang tahun ye. Lagi sejuk lagi bagus. Lagi tebal salji dan fresh snow boleh turun sepanjang malam. Suhu? Jika di Melbourne, siang mencecah 3 darjah celcius dan malam 1 darjah. Di atas gunung, boleh mencecah hingga -15 darjah atau kurang.


Di Mount Bawbaw. Pakaian untuk main salji/ outdoor... Macam pakaian untuk salji la. Jacket + jumper di dalam + long john/ long shirt sebagai underlayer. Paling penting kasut, pastikan kasut kalis air/ kalis salji. Tapak tebal sikit supaya tak sejuk kaki. Setokin tebal. Maffla. 


Shopping baju sejuk. Masa aku datang sini, aku tak bawa baju sejuk lagi. Sebabnya waktu datang tu masih musim panas. Penghujung musim panas. Jadi agak-agak dah sejuk aku pun mula shopping baju sejuk. Kalau jalan kat city tu, tanggalkan je la hoody bulu-bulu tu. Over sangat pulak kelihatannya. haha. Sini bukan sejuk macam di Rusia ye, nak pakai baju tebal siap berbulu musang. 


Pakai begini sahaja cukup. Thin jumper di dalam (color mustard tu) + satu layer tee sebagai underlayer kalau agak-agak suhu haritu dijangka lebih sejuk. Kalau angin kuat, suhu akan jadi makin sejuk; 9 darjah akan jadi 5 darjah. Jadi bolehlah zip jacket tu kalau terasa sejuk. Eh takkan itu pun nak ajar.. haha. Paling penting, pakai kasut tebal sikit sebab jemari kaki sangat senang terasa sejuk. Aku pernah TERpakai selipar keluar jemput Jejuw waktu winter, nak nangis rasanya sebab jari kaki aku dah sejuk sangat sampai tak rasa. ahahahha!


Nampak tak... 3 layer baju. Standard pemakaian untuk winter. Tee (merah) + jumper (putih) + jacket (hitam). Kalau suhu tiba-tiba naik jadi panas (Melbourne weather ni unpredictable sikit), bukak la jacket tu simpan dalam beg. Eh, ni pun tak payah ajar kot eh... 


Begini lah pemandangan di kawasan perumahan aku waktu winter. Ni gloomy day. Ala-ala macam dalam cerita seram zaman victoria.


Ni pun kawasan kejiranan aku. Tapi waktu sunny winter. 


OK habis winter.


AUTUMN


Jika inginkan cuaca yang dingin tapi tak dingin sangat (apa punya ayat la), waktu autumn atau spring juga boleh dipertimbangkan. Suhu di musim ini tak turun sampai 3 darjah, tapi sekitar 9 - 15 waktu autumn dan lebih tinggi waktu spring. Namun, perlu diingat, suasana dan pemandangan waktu autumn tak sama dengan waktu winter, apatah lagi spring. Kalau datang waktu autumn, neighbourhood biasanya dipenuhi dengan daun-daun kering penuh di tepi jalan dan berguguran. Cantik, cuma mungkin kelihatan sedikit serabai untuk orang yang tak gemarkan keadaan yang messy. Meraka tak sapu daun kering ni setiap hari sebab no point pun buat benda tu. Tak sampai 5 minit sapu dah penuh daun semula. Percayalah, aku pernah buat kerja bodoh tu. Menyapu daun kering di tengah musim luruh memang bukan tindakan yang bijak. Jadi dedaunan kering ni biasanya council hanya akan datang bersihkan apabila hampir kesemua daun di atas pokok telah habis luruh. Haaa bayangkan daun-daun ni berkumpul di tepi jalan. Apa yang best waktu musim luruh? Bagi aku cuacanya, dan suasananya. Segalanya kekuningan, kecoklatan, kemerahan, dan berguguran. Sekali sekala akan ada hujan tapi tak sekerap musim bunga.


Pokok iconic di Uni aku. Kalau cari kat instagram memang melambak orang ambil gambar kat pokok ni. 


Cantik kan autumn? Sebelum daun-daun tu gugur memang dia cantik bertukar warna atas pokok. Once dah gugur, haa tengok la bawah ni


Kawasan kejiranan aku yang bersepah dengan daun kering. Seronok woo pijak-pijak daun tu masa jalan..


Lori council datang sedut daun kering, bersihkan jalan. Akhirnyaa.....


Hujung autumn. Daun dah habis gugur. 


Nak pakai apa waktu autumn? pakai tshirt + jumper sahaja kalau suhu tak sejuk sangat. Kalau naik basikal macam aku ni, lagi la tak payah pakai banyak-banyak layer. Buat berpeluh ketiak je. Kalau sejuk, sarungkan thin jacket/ parka sebagai outer layer.


2 layer baju pun cukup untuk autumn. Outer layer tu boleh pakai jeans jacket atau parka. Tak payah pakai winter jacket gebu-gebu tu lagi. Belum masanya. BTW, tengok tu, baru lepas hujan.


Boleh juga pakai macam ni kalau tak minat jacket atau parka. Pakai jumper + tshirt kat dalam. 2 layer juga sebenarnya ni. 


Ok done autumn.


SPRING


Sebut pasal musim bunga, perkara yang paling tak best waktu musim ini adalah hari hujan yang lebih kerap. Perlu juga aku ingatkan yang Melbourne ini cuacanya pelik sedikit, terutama di musim bunga ni la. Ada hari hujan, ada hari kering. Biasanya selepas hari hujan, dua ke tiga hari suhu akan mencecah 11 - 13 darjah celcius siang dan 9 darjah waktu malam. Lepas tu ada hari tiba-tiba panas terik sampai suhu mencecah 31 darjah celcius. Secara purata, suhu di waktu spring adalah 14 darjah celcius dengan diselangi beberapa hari yang tersangat terik dan hujan. Kat Melbourne ni, 28 darjah celcius pun panas woi! Apa-apa suhu melebihi 25 memang dah panas dah tu. Kalau pergi park, orang dah pakai bikini. hehehe. Tapi kena ingat, di waktu spring, walaupun hari panas terik, angin masih bertiup dingin ye. So, kalau rasa kulit tak berapa tahan sejuk, pakai la lengan panjang. Apa yang best waktu spring? bunga bunga bunga. Semua pokok berbunga. Pokok yang kita tak sangka berbunga pun rupanya berbunga. Apa yang tak best? Hujan. Dan, untuk yang allergic atau ada athma, musim bunga bukanlah waktu yang sesuai untuk datang sini. Debu, debunga, dan bulu haiwan berterbangan merata-rata. Paling utama spora dan debunga. Memang siapa yang hidung sensitif, akan kerap bersin dan kemudian mulalah mata dan hidung berair. Hati-hati. Jika ada alahan, siap-siap beli ubat untuk hey fever di farmasi. Selain dari sedikit downside ni, spring sebenarnya adalah musim yang cantik dan berwarna warni.


Pokok di backyard aku... terkejut aku tengok, rupanya dia berbunga macam sakura tau. Bunga keluar celah-celah batang. Macam tak percaya je. 


Pokok iconic di Uni aku. Dah mula tumbuh daun-daun baru. Cantik


Kawasan kejiranan aku pun dah mula menghijau. Redup dan nyaman. Tak silap keputusan aku memilih suburb ni untuk kami menetap.


Old Quad. Bangunan sebelah fakulti aku. Unik sungguh pokok pink tu, sebab beberapa minggu lepas aku ambil gambar ni, warnanya berubah kepada purple gelab, kemudian jingga keperangan, dan sekarang semakin kehijauan. Aku ingatkan pink tu bunga, rupanya daun yang berubah-ubah warna mengikut musim. 


Pokok apa...apple mungkin. Ni kat Burnley garden. Sarat berbunga.



Apa nak pakai waktu spring? Spring adalah waktu paling pelik sekali di Melbourne. Perubahan cuacanya sangat ketara dan kena bersedia untuk bertukar outfit. Secara asasnya, pakailah pakaian dengan fabrik yang ringan with a touch of color. Lupa nak cakap, orang Melbourne ni suka warna hitam. Kalau waktu winter tu, memang monochrome je warna tona baju masing-masing. Aku je kot yang pakai maroon la, mustard la, biru la, hahaha! Tapi bila spring, diorang suka pakai floral pattern, fabrik ringan-ringan, flowy,... 


Waktu awal spring, suhu masih agak dingin, jadi masih boleh pakai 2 layer atau jumper untuk warmth. Ini adalah pakaian aku sewaktu bulan Oktober. Suhu masih sekitar 12 - 18 darjah celcius.


Hujung-hujung Oktober suhu sudah mulai sedikit panas, dah boleh pakai cardi nipis sebagai outer layer. Dalam pakai tshirt cotton. Disebabkan ni spring, pakai la baju ber color-color.


Pada penghujung spring, mula pada bulan November, Melbourne sudah mula menjadi sangat panas. Aku update post ni pun sebab aku rasa perlu untuk bagitau korang semua yang pada pertengahan ke hujung November, suhu boleh mencecah sehingga 34 darjah celcius. Panas wei!!! jadi pakai lah nipis-nipis dan yang longgar-longgar bagi angin masuk. Paling penting, bila suhu dah panas, dah boleh pakai thong atau sandal!


Sama seperti musim panas, jangan lupa pakai sun block, topi, dan minum banyak air. Orang Melbourne akan pakai bikini, baju pun jadi semakin sikit kainnya. hahaha! Diorang akan pakai shortpant atau hotpant yang digandingkan dengan tee atau crop top. Kalau kat sekolah tu, Juwita sorang je yang aku nampak pakai seluar panjang lagi. Orang lelaki pula akan pakai short ke mana-mana. Mereka juga tak pakai jeans di musim panas-panas ni. 



ok habis Spring.


SUMMER


Last sekali, musim panas. Selalu nya, tak ramai orang pilih untuk datang Melbourne waktu musim panas sebab musim panasnya boleh jadi lebih panas dari di Malaysia. Dalam sejarah, suhu paling panas ni Melbourne pernah mencecah 47 darjah celcius, iaitu waktu Black Saturday, Bushfire paling teruk di Melbourne waktu itu. Panas woo.... dan memang akan ada sehari dua waktu summer, kira macam darurat la, sekolah pun tutup sebab terlalu bahaya untuk keluar rumah atau terdedah dengan panas. Panasnya tak sama macam di Malaysia sebab panasnya panas kering. Sentiasa bawa botol air dan kerap minum air masak. Kurangkan minum air bergula dan kopi. Anda tak sedar tau-tau dah dehydrated, pengsan ke kang... tak ke payah. Kalau nak jalan di city, elok naik tram daripada jalan kaki. Dalam tram ada aircond. Hehehe. Ada ke orang yang suka musim panas? Apa yang best waktu summer ni? Hmmm... musim panas ni biasanya Melbournian akan pergi bercuti keluar negara. Mereka akan ke negara eropah (atau negara-negara di hemisfera utara) sambut Christmas, balik ke kampung halaman (kebanyakan Melbournian adalah asal atok nenek migrant di sini), atau bercuti ke Bali atau Fiji. Betul tak tipu. Musim summer adalah musim mereka bercuti. Kalau yang tinggal sini, mereka akan berparty dan berBBQ di pantai. Penuh laa Brighton beach dan St Kilda beach tu dengan local people bergelimpangan. Kalau nk try aussie barbie, boleh la datang summer. Dan Melbourne city agak quiet waktu summer sebabnya, macam aku cakap tadi, ramai bercuti ke luar negara.


Rumput menghijau, tapi daun dah mula nak menguning. Macam tu la summer. Best nak picnic, lepak kat park, pergi beach... (Ingat tak post aku yang lepas pasal brighton beach? Haa tu waktu hujung summer awal autumn. Cuacanya panas terik tapi angin dingin)


Summer.


Nak pakai apa waktu summer? Pakai macam biasa je macam kat Malaysia. Tshirt selai, takde layer-layer. Pakai sesuatu yang berfabrik ringan, flowy dan longgar. Jangan lupa pakai sunglasses dan topi. Jangan lupa juga untuk pakai sun block. Sekejap je matahari boleh hitamkan muka kau.


Hmmm... jadi lepas ni jangan tanya lagi musim apa best nak datang Melbourne. Tepuk dada, tanya selera. Check itinerary, dan fikirkan, apa yang anda nak rasai, nak lihat dan explore di Melbourne. Setiap musim menawarkan pemandangan dan pengalaman yang berbeza.

Pakaian pula, tengok kulit, tanya diri sendiri. Dimana tahap ketahanan sejuk anda. Orang Melbourne ni suka pakai short pant. Musim sejuk pun pakai short pant. Tak pelik la musim bunga dah pakai bikini. 

So, musim apa yang best? Kalau tanya aku, aku paling suka musim sejuk dan autumn. Least favourite, summer. Korang? Agak-agak nak datang musim apa? Kalau datang Melbourne contact-contact la, boleh kita mengopi sambil aku bawa tour dalam uni aku. hehe


Baiklah. Sampai jumpa!



Noor Hida Halim
Carlton North, Vic.


Comments

Popular posts from this blog

Barangkali ada hidden jewel di Batang Kali.

Menempah penginapan percutian dengan AirBNB

Hangatkan jiwamu disaat salji membeku

Membeli belah barang dapur untuk seminggu. RM100 Cukup kah?