Book Review: Animal Farm

Animal Farm: A Fairy Story

Animal Farm: A fairy Story (1945) adalah salah satu novel hasil penulisan George Orwell. Buku ini di kelaskan di bawah kategori contemporary satire. Jangan salah anggap, walaupun subtitle buku ini ditulis sebagai A Fairy Story, ia bukan buku fantasi kanak-kanak malah bukan juga cerita khayalan seperti Harry Potter atau Lord of the Ring. Cerita novel ini berbentuk satira, iaitu menurut terjemahan dewan bahasa bermaksud, "karya yang mempersendakan atau menyindir orang dll". Jadi apa yang disendakan? Apa yang disindirkan? Itulah yang akan saya huraikan sedikit sebanyak di sini. Tapi sebelum itu, marilah kita kenal dahulu dengan penulis buku ini, iaitu George Orwell.

George Orwell.
George Orwell sebenarnya lahir dengan nama Eric Arthur Blair. George Orwell tu nama pena dia. Seperti mana-mana penulis hebat yang telah menghasilkan buku berpengaruh, mereka ada fahaman tersendiri dan mempunyai pengikutnya sehingga sekarang. Contohnya, saya pernah cerita tentang Karl Marx yang meninggalkan legasi dan pengikut yang menggelarkan diri mereka sebagai Marxism. Orwell juga ada fahaman dan pengikutnya yang tersendiri yang digelar sebagai Orwellian. Orwellian sebenarnya muncul hasil dari penulisan Orwell yang lain, iaitu 1984 (1948). Tapi hari ini saya tak nak cerita buku 1984 lagi, saya nak cerita buku Animal Farm.

(Kepada yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang George Orwell dan Orwellian, boleh baca dibahagian EXTENDED di bawah nanti).

Ini kalau tak silap gambar George Orwell semasa dia masih bekerja dengan BBC. (gambar google)


Animal Farm
Animal Farm dicetak kali pertama di England pada tahun 1945. Buku ini asalnya dicetak sedikit sahaja kerana waktu itu baru habis perang dunia kedua, maka stok kertas tak banyak. Namun, beberapa tahun kemudian, buku ini telah diulang cetak dan diterjemah kedalam beberapa bahasa lain seperti Persian, Telugu, Icelandic, dan Ukrainian. Sesetengah penerbitan membuang perkataan A Fairy Story dalam tajuk kerana ia menyukarkan mereka untuk mengkelaskan buku ini. Dengan kata lain, ada sesetengah negara meletakkan buku ini sebaris dengan buku bacaan kanak-kanak, akan tetapi isi kandungannya tidak sesuai untuk bacaan kanak-kanak kerana idea yang dibawakan terlalu berat. Jadi untuk mengelak kekeliruan, mereka buang perkataan fairy story tu.

Seperti yang saya nyatakan, buku ini bernada satira atau mengejek. Apa yang diejek? Iaitu revolusi Rusia. Namun, mengikut kata Orwell, walaupun buku ini dengan jelas mempersenda revolusi Rusia, namun ia bertujuan untuk aplikasi dan falsafah tentang revolusi secara lebih meluas.

Key Idea
Animal Farm adalah sindiran terhadap kisah sejarah revolusi Rusia yang gagal. Mengunakan watak haiwan-haiwan di ladang, Orwell menceritakan bagaimana revolusi menjadi gagal apabila setelah penggulingan kuasa, pemerintahan baru menjadi korup kerana gilakan kuasa. Key idea dalam buku Animal Farm adalah 'the act of rebellion', iaitu penentangan haiwan-haiwan di Manor Farm terhadap penindasan dan ketidak adilan yang dirasai oleh haiwan-haiwan di ladang itu. Buku ini juga menceritakan bagaimana idea 'rebellion' yang asalnya suci murni dengan mudahnya menjadi korup kerana kuasa, dan akhirnya semakin manjahanamkan keadaan.

Sinopsis cerita
Watak utama dalam novel ini adalah Napolean dan Snowball, iaitu 2 ekor babi yang mengetuai revolusi haiwan-haiwan di ladang Mr Jones. Mr Jones ni adalah peladang yang teruk. Dia pemalas, kaki mabuk dan selalu lupa bagi haiwan-haiwan makan. Idea revolusi dan penggulingan kuasa bermula apabila pada suatu hari, Mr Jones terlupa bagi haiwan ni makan kerana terlalu mabuk. Pada malam itu, semua haiwan berkumpul di dalam gudang untuk mendengar kisah mimpi dari seekor babi   tua, Old Major. Akan tetapi, Old Major memulakan ceritanya dengan sebuah manifesto yang panjang tentang nasib haiwan dan idea revolusi. Idea Old Major mudah saja: sesiapa yang berkaki dua (iaitu manusia) adalah musuh manakala sesiapa yang berkaki empat atau bersayap adalah 'comrades' atau kawan.

Bagi pandangan Old Major, iaitu seekor babi yang sudah lama hidup atau dengan kata lain dah lama makan garam dan melihat dunia, manusia adalah satu-satunya haiwan yang mengguna (consumes) tapi tidak menghasilkan apa-apa (producing). Manusia hanya tahu consumes dan haiwan lain berkaki empat atau bersayap yang terpaksa produce untuk mereka. Selagi keadaan ini dibiarkan terjadi, sampai bila-bilalah, kata Old Major, haiwan-haiwan ladang akan menjadi hamba kepada kerakusan dan ketamakan manusia. Pesanan akhir Old Major adalah: "...we must not come to resemble him (human). Weak or strong, clever or simple, we are all brother. No animal must ever kill any other animal. ALL ANIMAL ARE EQUAL" (p. 6). Kat sini Orwell sebenarnya dah usik-usik sikit punca tercetusnya revolusi Rusia yang bermula dengan idea kesamaan atau equality yang dicanang oleh pihak revolutionist cum socialist cum communist.

Beberapa hari kemudian, Old Major mati kerana tua. Namun, idea pemberontakan dan revolusi kekal di dalam minda setiap haiwan-haiwan di ladang itu. Perasaan benci pada Mr Jones semakin membuak-buak kerana haiwan-haiwan ini terus terusan diekploitasi demi kekayaan dan kemewahan tuan ladang. Haiwan-haiwan ini terpaksa bekerja lebih masa, mengangkat beban lebih berat, bertelur lebih banyak, melahirkan anak lebih ramai, dan menghasilkan susu lebih banyak, sedangkan nasib mereka semakin hari semakin tidak terbela. Dalam masa yang sama, Napoleon dan Snowball, 2 ekor babi yang bijak terus-terusan mempengaruhi haiwan yang lain untuk bangkit mencipta revolusi. Babi ni apparently belajar membaca dan menulis senyap-senyap dari buku-buku lama anak Mr Jones.

Long story short, pada suatu hari, setelah 2 hari 2 malam Mr Jones tak bagi haiwan ni makan, akhirnya dengan pengaruh dari Napoleon, haiwan-haiwan telah bangkit memberontak, menggulingkan Mr Jones dan mengambil alih ladang. Napoleon yang mengetuai revolusi telah mengambil alih tampuk pemerintahan yang baru (obviously lah kan, sebab dia paling bijak) dan memperkenalkan 'the 7 commandments':

The Seven Commandments yang ditulis oleh Napoleon di dinding. Isi kandungannya adalah inspirasi dari pesanan-pesanan akhir Old Major sebelum dia mati.


Napoleon, watak babi yang mengetuai revolusi haiwan ini sebenarnya menggambarkan watak Stalin semasa revolusi Rusia. Untuk versi Perancis, Orwell telah menukar tajuk Animal Farm kepada 'Union des republiques socialistes animales' - URSA, ala-ala USSR versi haiwan, dan watak Napoleon untuk versi Perancis dinamakan Cesar.

Ini Stalin. Ketua revolusi Rusia dan pemerintahan autokratiknya. Pada awal revolusi, Stalin disanjung rakyat kerana telah membuka lembaran baru dan kekayaan di bumi Rusia. (gambar google)


Sejak haiwan mengambil alih tampuk pemerintahan ladang, Manor farm ditukar nama kepada Animal Farm dan hasil tani musim panas tahun itu merupakan hasil tani yang terbanyak yang pernah dikutip sepanjang zaman. Buat pertama kalinya, haiwan-haiwan ini dapat menikmati hasil titik peluh mereka sendiri tanpa sedikit pun perlu dibagi kepada manusia yang rakus lagi kapitalis. Padang ragut adalah milik mereka semua, telur semua boleh dieram, anak-anak kambing dan babi tak perlu dijual di pasar, dan susu yang terhasil adalah khas untuk anak-anak lembu yang sedang membesar. Namun kekayaan dan kebahagiaan mereka sedikit demi sedikit semakin pudar dan perlahan-lahan semuanya start to go downhill.....

Ini pula Napoleon, ketua revolusi Animal Farm. (gambar google)


Saya tak mahu beritahu plot cerita ini satu persatu sebab nanti tak syok lah nak baca. Kalau anda pernah membaca kisah sejarah Rusia atau tahu sedikit sebanyak tentang revolusi Rusia, anda pasti sudah boleh mengagak apa akan terjadi selepas rampasan kuasa haiwan di ladang Manor. Kalau anda tak pernah tahu tentang sejarah revolusi Rusia, buku ini adalah pendekatan paling menarik untuk anda memahami kisah bersejarah itu secara satira, humor, dan ringan. Ringan di sini bermaksud bacaan sejarah dan politik yang santai tanpa perlu anda mengenali watak-watak utama dalam revolusi Rusia yang bersulamkan tahun dan fakta yang memeningkan. Cukup sekadar memahami apa yang berlaku, jalan cerita, dan ideologi revolusi melalui pendekatan konflik haiwan-haiwan ladang.

Anda akan sukakan buku ini walaupun anda tidak pernah sukakan sejarah dan politik. Mungkin buku ini akan menimbulkan minat anda terhadap politik dan sejarah dunia, siapa tahu kan?


Menuju ke akhir cerita, 'the seven commandment' yang awalnya ditulis sendiri oleh Napoleon di dinding dah tak wujud lagi. Yang ada hanyalah single commandment, "ALL ANIMALS ARE EQUAL BUT SOME ANIMALS ARE MORE EQUAL THAN OTHERS". Babi kini mengetuai Animal Farm, menguasai kekayaan, dan mengawal haiwan di ladang secara diktator. Babi kini lagaknya bagai manusia berkaki dua!

Napoleon. Babi yang memerintah Animal Farm. Menggambarkan watak Stalin semasa revolusi Rusia dan... of course, Napoleon Bonaparte semasa revolusi Perancis. (gambar google)


Animal Farm: Ethical farming practices
Selain dari idea revolusi dan kepincangan kuasa yang berasaskan revolusi Rusia, buku ini juga mendapat perhatian dari golongan aktivis alam sekitar dan haiwan dan pemilik-pemilik ladang. Buku Animal Farm telah membuka mata sesetengah pihak untuk mencari kaedah yang lebih praktikal dan beretika dalam mengurus selia ladang dan haiwan ternakan bagi mengelakkan penindasan terhadap haiwan dan pada masa yang sama, memaksimakan hasil keluaran.

Penyeliaan dan penjagaan ladang permaculture semakin mendapat sambutan terutama sekali di Eropah dan Australia kerana ia lebih sustainable, memberi impak yang sedikit pada alam semulajadi (carbon foorprint), dan lebih beretika. Lain kali saya akan ceritakan lebih lanjut tentang konsep permaculture ini.

Kesimpulan
Pendek kata, pengaruh buku ini melangkaui kisah revolusi Rusia. Ia tetap releven dibaca sehingga sekarang dan pengajaran yang terkumpul di dalamnya masih boleh diambil ikhtibar bagi mereka-mereka yang membaca dan sedar.

Saya suka dengan kata-kata yang mengatakan, bangsa membaca adalah bangsa yang berjaya. Dari bacaan, banyak isi penting dan pengajaran yang boleh kita perolehi dari pengalaman-pengalaman yang lepas dari sudut pandang pelbagai lapisan masyarakat. Sebagai pembaca, kita harus bijak memahami konteks dan idea yang disampaikan. Ada pepatah mengatakan, 'those who do not travel read only one page'. Saya nak tambah, 'those who do not read, will go nowhere'.

-----------------------------------------------------------------------
George Orwell Extended
(Segment ni untuk sesiapa yang berminat untuk tahu lebih lanjut tentang gaya penulisan dan fahaman Orwellian)

Saya suka mengambil penekanan memahami dan mengenali dahulu penulis buku, latar belakangnya dan zaman kehidupannya untuk memahami penulis itu punya sudut pandangan. Dengan cara ini kita akan lebih mudah memahami dari mana sesuatu idea itu datang, dan dari mana lahirnya sesuatu ideologi yang disampaikan. Dengan memahami latar belakang penulis, kita juga mudah untuk mengadili idea dan penulisan mereka dengan lebih terbuka. Ok sekarang kita berbalik pada George Orwell.


Orwell terkenal dengan cara penulisan yang tajam dan terperinci. Dia tak takut untuk menulis sesuatu yang kurang disenangi orang untuk membaca. Dia pernah kerja di Burma bersama Indian Imperial Police dan dari pengalamannya itu, lahirlah novel pertamanya bertajuk Burmese Day (1934). Dalam buku ini Orwell tulis tentang konflik dan situasi masyarakat yang hidup dibawah jajahan inggeris. Dari buku ini dia menjelaskan betapa kolonisasi banyak mengubah budaya masyarakat asal dan memberi banyak keburukan dan konflik identiti kepada bangsa yang dijajah.

Selain itu, Orwell juga ada menulis buku-buku tentang kemiskinan hidup (poverty dan famine) masyarakat kelas bawahan di England dan London. The Road to Wigan Pier (1937) merupakan satu penulisan yang sangat tajam dan jelas, menceritakan secara terperinci kesengsaraan hidup masyarakat buruh pada zaman itu. Suatu yang menarik tentang Orwell adalah semua penulisannya adalah berasaskan pengalaman dan penglihatannya sendiri dan bukan direka-reka. Selain itu, Orwell juga banyak menulis essay pendek dan artikel untuk majalah dan surat khabar.

Orwell juga terkenal dengan penulisan yang berkisar tentang revolusi. Ini kerana dia banyak terlibat secara langsung dalam revolusi dan penentangan rakyat ke atas pemerintah.

Idea revolusi Orwell sangat unik dan berkembang. Kalau kita baca penulisan dia mengikut kronologi tahun penerbitan, kita akan nampak bagaimana ideologi dia shifted dan growth dari satu pandangan kepada satu pandangan yang lain. Sebagai contoh, penulisan Orwell dalam Road to Wigan Pier banyak henghentam keburukan capitalism dan kerajaan. Orwell nampak cenderung kepada fahaman kiri ketika itu. Malah, dia memang ada join kumpulan pemberontak haluan kiri pun tak lama selepas itu. Tapi selepas Orwell menyertai kumpulan pemberontak yang menyebelahi party komunis dan pendokong fahaman Marxist, dia menyedari bahawa pemberontak juga 2 kali 5 sahaja dengan yang diberontak, dan dia juga nampak bagaimana revolution, yang pada asalnya murni dan bertujuan mulia, dengan mudah boleh dimanipulasi, penuh dengan eksploitasi, dan akhirnya lari dari matlamat murni.

Kerana itu, lahirlah novel yang berikutnya, 1984 yang menggambarkan kehidupan selepas revolusi yang kucar kacir. Orwell nak cakap yang revolusi tidak semestinya membawa kepada kebaikan malah kebanyakan masa, memberi lebih keburukan. 1984 juga secara kiasan menunjukkan keburukan kuasa pemerintahan totalitarian/ autokrasi yang dicanang-canang puak haluan kiri ketika itu. 1984 juga membayangkan keadaan dunia yang tiada kebebasan dan hak peribadi akibat dari kuasa mutlak pemerintah yang mengawal segala-galanya. Dari novel ini lah muncul ideologi Orwellian dan muncul istilah-istilah seperti The Big Brother is watching you, sex-crime, thought-crime, dan penggunaan double speak  seperti 'war is peace', dan 'freedom is slavery' yang tanpa sedar, masih digunapakai sehari-harian terutama sekali dalam popaganda politik, perang dan public policy di media-media massa di masa kini.

1984 menggesa masyarakat memikirkan semula jaringan surveilance dan memaksa kita untuk berfikir, apakah bayaran yang tanpa sedar telah kita gadaikan untuk berasa aman. Adakah kita sanggup menggadaikan kebebasan dan hak asasi demi keamanan? Itulah anatara key point yang cuba dibangkitkan oleh Orwell dalam 1984 dan ini lah asas kepada fahaman Orwellian. 
-----------------------------------------------------------------

Cukup setakat ini sahaja untuk kali ini. Nantikan review buku saya yang berikutnya pula di minggu akan datang. Sampai jumpa!


Noor Hida Halim
Carlton North, Victoria.

Comments

Popular posts from this blog

Menempah penginapan percutian dengan AirBNB

Barangkali ada hidden jewel di Batang Kali.

Hangatkan jiwamu disaat salji membeku

Road to Melbourne. Episode 1: Application to study Master